KLCI seperti yang telah dijangka, menutup tirai dengan rekod
tertinggi 2017 pada paras 1796.81 mata melangkaui paras tertinggi
sebelumnya di paras 1792.35 mata pada 14 Jun 2017.
Memulakan 2017 dari paras 1635.53 pada 3 Januari 2017, KLCI telah naik sehingga paras tertinggi 1792.35 pada 14 Jun 2017, sebelum menurun ke paras 1713.13 pada 4 Disember dalam fasa 'correction' dan kemudiannya, melonjak dan meneruskan semula pergerakan menaik sehingga ditutup dengan memecah rekod tertinggi sebelumnya di paras 1796.81 pada hari Jumaat yang lepas 29 Disember 2017. Ringkasnya KLCI pada tahun 2017 telah meningkat sebanyak 161.28 mata atau 9.86%.
Melihat pada aksi KLCI memulakan gerakan menaik semula selepas fasa 'correction' bermula tanggal 4 Disember yang lepas sehingga kini dari kaedah 'Gann Theory' dengan melihat pada 'Gann Fan', boleh dikatakan yang KLCI sedang bergerak ke atas dengan halaju yang tinggi apabila ia sekarang didagangkan pada 1/4 garisan gann dan di tutup di antara 1/8 garisan gann dan 1/4 garisan gann. Pada 'Gann Fan' ini juga, KLCI nampak di sokong kuat pada 1/3 garisan gann. Dalam erti kata lain KLCI sekarang ini sedang bergerak dalam mode 'very strong bull'
'Fibonacci Extension' pula memperlihatkan KLCI sedang didagangkan diantara paras rintangan 1800 dan paras sokongan 1780. Jika paras rintangan 1800 ini dipecahkan, maka paras rintangan yang juga menjadi paras sasaran seterusnya adalah di paras 1820. Begitu juga dengan paras sokongan 1780, jika paras ini tidak dapat bertahan andai KLCI membuat 'correction', maka paras sokongan seterusnya mengikut Fibonacci adalah di paras 1754. Namun begitu, kemungkinan besar KLCI juga bakal ditahan atau bertahan pada paras sokongan AWAN ichimoku di paras 1774/1772 sebelum KLCI boleh jatuh ke bawah. ini kerana paras ini telah menjadi benteng kuat sebelum KLCI menembusi dan melonjak naik ke paras terkini, oleh itu paras ini berkemungkinan akan menjadi paras sokongan kuat untuk KLCI.
Kami membuat kesimpulan, pada pembukaan tirai 2018, KLCI berkemungkinan membuat 'correction' yang kecil dan berkemungkinan di dagangkan diantara paras 1800 dan paras 1780/1770. Ini adalah kerana KLCI gagal melonjak melepasi paras 1800 mata yang juga paras 50% 'Fibonacci Extension' dan kelihatan paras volum juga rendah berbanding paras purata volum 21hari. Dan kajian seterusnya terhadap petunjuk MACD mendapati terdapat 'bearish divergence' diantara pergerakan KLCI dan MACD HISTOGRAM. Namun begitu, kami masih kekal dengan KLCI sekarang ini adalah secara dasarnya dalam pergerakan menaik, kerana paras KLCI menaik dengan halaju yang tinggi menurut 'Gann Fan'. Pendapat ini kekal selagi petunjuk-petunjuk yang dibincangkan tidak di cerobohi dan terbatal.

Comments
Post a Comment